Tuesday 12 March 2013

5.369 juta penerima BR1M tunai baucer: Ahmad Husni

PUTRAJAYA: Sehingga semalam seramai 5.369 juta daripada 6.114 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 telah menunaikan baucer masing-masing. 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, daripada jumlah itu, 1.376 juta yang menunaikan baucer ialah individu bujang dan 3.993 juta isi rumah. 

"Negeri paling ramai penerima yang menunaikan baucer ialah Selangor iaitu seramai 837,904 orang, diikuti Johor 729,124 dan Sarawak 623,673," katanya selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini. 


Objektif utama BRIM 2.0 ialah untuk membantu seisi keluarga yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dengan bantuan sebanyak RM500 dan individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan bawah RM2,000 sebanyak RM250. 

Pada majlis itu, Kementerian Kewangan turut menyampaikan sumbangan untuk Tabung Wira Lahad Datu Media Prima berjumlah RM60,000. 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata untuk menggalakkan semangat patriotik dalam kalangan warga kementerian, satu skuad Wataniah akan diwujudkan tidak lama lagi. 

"Permohonan untuk menyertai skuad itu baru dibuka, setakat ini telah menerima 30 permohonan dan kami yakin jumlah itu akan bertambah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment